Saturday, December 29, 2012

Salam tahun baru

   Tanda-tanda akhir zaman begitu jelas sekarang. Ini terbukti dengan tanpa sedar fajar 2012 akan berlabuh dan fajar 2013 akan menyinsing.
   Mungkin sekarang setiap orang merancang untuk meraikan tahun baru ini dengan pelbagai cara. Bagi yang muda dengan cara muda dan yang tua dengan cara tua. Tapi, ada juga yang meraikannya tanpa menyedari tahap umur dan yang paling menyedihkan tanpa memperdulikan batas-batas agama.

   Jika tahun baru 2012 lepas pelbagai kes maksiat telah dibongkar pada malam tahun baru, bagaimanakah pula pada malam sambutan tahun baru pada tahun ini??Adakah masih sama atau terdapat maksiat yang lebih dasyat lagi??Antara kes yang telah dipaparkan pada sambutan tahun baru 2012:
-Bawa 2 anak buat maksiat
-Hotel bajet tempat maksiat

   Jadi, bagaimanakah semua pihak memainkan peranan untuk mengelakkan perkara maksiat yang telah berlaku pada sambutan tahun baru yang lepas akan berulang??Atau masih ada pihak yang tidak nampak kepincangan yang berlaku pada sambutan lalu dan masih mengadakan sambutan yang melalaikan??Semuanya akan terjawab pada tanggal 12 malam 1/1/2013 ini.


Tahun ini hampir berlalu,
Belum pun tergores coretan bererti,
Belum pun setiap gagasan menjadi nyata,
Tapi, semuanya masih tercoret untuk dicapai.
Padahal telah berada dipenghujung 2012,
Semuanya insyaallah akan terlewati,
Semoga ada perubahan dalam lembaran baru.
Selamat tahun baru 2013.

-Selamat tahun baru buat semua insan yang ku sayang,semoga azam tahun ini yang tidak kesampaian akan terlaksana pada tahun hadapan. Dan, lembaran 2013 akan terukir sesuatu yang lebih bermakna buat kita semua.Aminnnn....

Friday, December 28, 2012

Kembara hamba

   Sudah melebihi 5 bulan tak mencoret sesuatu disini. Bukannya terlampau sibuk tapi mood agak kurang. Ini semua disebabkan perubahan arah kehidupanku yang agak menyedihkan sedikit huhuhu...

   Hidup ini sebuah kembara. Kembara dari satu alam ke alam yang lain. Bahkan mati itu juga sebuah kembara. Iaitu kembara dari alam dunia ke alam barzakh!!!

Sabda Rasulullah SAW :
            " Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya. " (Riwayat al Tarmizi)

   Jadi, setiap apa yang ada di dunia ini perlu dihargai, disyukuri dan dinikmati dengan cara betul mengikut syariat Islam. Kita tidak perlu berpaling dari jalanNYA ketika kita diuji dengan kegembiraan, kesedihan, kesusahan maupun kesenangan.

   Jika kita diuji dengan kesusahan, kita perlu pandang hamba lain yang lebih perit dari kita. Bagaimana saudara kita di PALESTIN, SYRIA kini?? Adakah kita merasa kesusahan seperti mereka???

   Dan, jika kita diuji dengan kesenangan janganlah kita lupa pada insan yang tidak mendapat nikmat seperti kita dan usahlah kita lupa untuk menyalurkan apa yang kita miliki untuk agama tercinta ISLAM.

   Biarlah kita menjadi hamba yang tidak sesat ketika mengembara di bumi yang luas ini. Mohonlah selalu moga kita dapat sampai ke destinasi AKHIRAT dengan selamat dan disambut dengan bidadari2 syurga.


  Bilamana Allah menimpakan ujian buat kita, ujian yang amat berat buat kita, dan ujian yang tiada henti. Allah memujuk kita untuk terus bersangka baik terhadapnya. Yakinlah dengan satu perkara...

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu"



p/s:
* Muhasabah untuk diri sendiri untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan olehNYA.

* Moga kembaraku meninggalkan kenangan indah...

Tuesday, July 24, 2012

Semangat seorang wanita

  Di awal Ramadhan dan selepas pulang berjalan-jalan tenangkan hati dari Iskandariah sempat diri ini menghabiskan sebuah buku seorang kawan yang tiba-tiba menarik perhatian untuk membacanya. Buku yang menceritakan kisah benar kehidupan seorang wanita yang baru mengenal ISLAM tulisan UMMU HANI ABU HASSAN.

  Wanita hebat ini diberi nama seperti karakter empunya nama iaitu NOORAH. Dia tetap tersenyum dan gembira ketika perjalanan hidupnya dilanda pelbagai dugaan,hanya untuk melihat orang disekelilingnya gembira dan bahagia.

  Menitis juga air mata ini ketika membaca kisah hidupnya yang tidak putus-putus didatangkan ujian. Daripada kecil hidupnya diuji dengan ibu bapa yang mengalami masalah sehingga menyebabkan mereka  adik beradik ditempatkan di rumah kebajikan.

  Malah ujian dalam hidupnya tidak terhenti disitu sahaja. Ketika diri mengimpikan kebahagiaan saat diri bergelar isteri, sekali lagi hidupnya diuji dengan dikurniakan seorang suami yang amat garang dan tidak mempunya sifat penyayang dan toleransi seperti contoh seorang suami terbaik iaitu Rasulullah SWT. Contoh suami yang sering dia teliti sirahnya. Tapi, sifat seorang isteri yang ingin menjaga rumahtangga yang dibina, dia sanggup menelan segala kepahitan,kesakitan yang dirasa.

  Hidupnya terus-terusan dalam ujian,sehingga 4tahun dia dipisahkan dengan 3 orang permata hatinya. Kemudian dia mengalami kegagalan kali kedua dalam rumahtangga. Tapi, semangatnya tidak pernah padam, malah menjadikannya lebih kuat dan bersemangat meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah yang taat kepada penciptanya.

  Ujian dalam kehidupannya juga menjadikan kepercayaanya kepada ISLAM bertambah kuat. Saat dia disahkan menghidap kanser payudara pun dia mampu tersenyum.Subhanallah...

  Menyelami kisah wanita ini, terasa diri diri begitu lemah dan kerdil. Kita perlu bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang muslim dan diberi begitu banyak nikmat yang tidak terhingga. Kisah wanita hebat ini juga menjadi motivasi kepada diri untuk tidak mengalah ketika ditimpa ujian. Apalah sangat ujian yang kita hadapi berbanding ramai lagi insan yang diuji dengan begitu dasyat. 

  Kisah dia juga membuatkan diri ini termenung sejenak, apa yang telah aku sumbangkan kepada ISLAM selama hampir 24 tahun berada dalam agama suci ini berbanding dengan Noorah yang tidak henti-henti berfikir dan berusaha untuk menyumbangkan segalanya untuk agama walaupun dia diberi cahaya iman ketika sudah meningkat remaja.

  Agak panjang pula coretan kali ini kerana begitu semangat ingin berkongsi kisah wanita hebat ini hehehe..

  P/S:- Untuk lebih menghayati kena baca sendiri
        - Rugi siapa yang tak baca buku ni hehehe
        - Ya Allah, semoga kami terus thabat dalam landasan imanMu.Jauhkanlah kami dari sifat alpa dengan
           nikmat yang engkau berikan.Amin Ya Rabb...

Saturday, July 21, 2012

Ramadhan yang dirindui

  Tanpa sedar hari ini umat Islam seluruh dunia sudah memasuki satu bulan yang amat berharga. Bulan yang mengandungi pelbagai kelebihan, yang terutamanya 1 malam yang menjadi rebutan iaitu malam LAILATUL QADAR. Bersyukur kerana kita masih diberi nikmat usia untuk bersama dalam madrasah Ramadhan pada tahun ini.
  Tahun ini diriku menyambut ramadhan sekali lagi sebagai anak perantau. Walaupun jauh dari keluarga, tapi bukan halangan untuk melaksanakan ibadah mulia ini. Tidak dinafikan hati agak tercuit juga bila mengingati suasana bersahur dan berbuka bersama keluarga di negara sendiri huhuhu...

  Tapi, bila mengenang kembali saudara kita di Syria,Palestin,Myanmar dan sebagainya diri ini bersyukur kerana diberi suasana yang selesa untuk melaksanakan ibadah dibulan ini. Bagaimanakah keadaan mereka sekarang??Apakah yang mereka jamah untuk bersahur dan berbuka??

  Saat kita berbuka sehingga tidak terhabis juadah yang dihidangkan,ingatlah masih ada insan yang berbuka hanya dengan seteguk air kosong. Jadi, bersyukurlah dengan nikmat yang dikurniakan kepada kita.Usah membazir dengan menyusun menu yang pelbagai untuk berbuka akhirnya semua ibadah yang sepatutnya dilakukan pada waktu malam seperti tarawikh, tahajud, baca Al-Quran dan sebagainya entah kemana...
Jadikan RAMADHAN bulan yang paling manis dalam kehidupan kita..

Thursday, July 12, 2012

10 Wasiat Imam As-Syahid Hassan Al-Banna

1) Dirikan solat apabila mendengar azan, walau apapun jua keadaan pada waktu itu.

2) Bacalah al-Quran, atau pelajari tafsirnya atau dengarlah bacaan orang lain, atau zikirlah kepada Allah, Jangan engkau gunakan sebahagian ruang waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah.


3) Bercakaplah dengan bahasa Arab yang fasih, kerana ia termasuk dalam syi'ar Islam.


4) Jangan banyak berdebat dalam apa jua hal. Pertengkaran tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan.


5) Jangan banyak ketawa, kerana hati yang berhubung dengan Allah sentiasa tenang dan mantap.


6) Jangan suka berjenaka atau berolok-olok, kerana umat yang berjuang tidak mengenal yang lain selain kesungguhan.


7) Jangan engkau tinggikan suaramu melebihi keperluan pendengar. Ia menunjukkan kebodohan dan menyakitkan.


8) Jauhi menghina orang, mencela organisasi dan jangan berbicara kecuali perbicaraan yang baik.


9) Perkenalkan dirimu kepada orang yang engkau jumpai, walaupun ia tidak meminta daripadamu, sebab dasar dakwah kita adlaah cinta dan saling kenal mengenal.


10) Kewajipan selalu lebih banyak daripada waktu yang tersedia. Oleh itu bantulah orang lain untuk memanfaatkan waktunya. Jika engkau mempunyai urusan, maka selesaikanlah dalam waktu sesingkat-singkatnya



Friday, June 8, 2012

Hamba ALLAH

   Dalam keadaan aku dan sahabat-sahabat di bumi Mesir sibuk study untuk imtihan fasa kedua, keluarga dan sahabat-sahbat di Malaysia sibuk bercuti. Jadi,agak tercuit juga perasaan ini huhuhu:(
  Tapi, lumrah la kehidupan sebagai hamba Allah. Putaran roda kehidupan,putaran aktiviti kehidupan,putaran fasa kehidupan. Bersyukur tidak terhingga dilahirkan di dunia sebagai hamba Allah yang berakal dan sebagai hamba Allah yang ditaklifkan sebagai khalifah di bumi Allah.

  Tidak guna berbangga dengan pentaklifan tersebut, jika diri tidak melaksanakan apa yang ditaklifkan. Sebagai khalifah di bumi yang serba luas ini begitu banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab sebagai seorang anak, seorang isteri/suami, seorang ibu/ayah dan yang paling penting tanggungjawab sebagai seorang muslim.

  Diri yang serba lemah ini, ingin mengajak sahabat-sahabat untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim tanpa meninggalkan muslim yang lain.Ini adalah kerana, muslim era kini telah ramai yang tersasar dan terbuai dengan dakyah-dakyah YAHUDI yang tidak pernah berhenti.

Monday, May 21, 2012

Ahlan REJAB...merindui RAMADHAN



  Terasa baru saja melaksanakan ibadah di bulan Ramadhan.Kini,RAMADHAN akan kembali lagi. Bermula masuknya bulan REJAB maka, ramadhan pun akan tiba. Tapi,sempatkah kita merasai bulan yang mulia itu. Jadi, untuk kesempatan yang ada marilah sama-sama kita merebut kelebihan dua bulan sebelum  kedatangan ramadhan.( REJAB...SYAABAN )

Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram di dalam Islam.
Allah berfirman, 
”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (QS At-Taubah: 36)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.Umat Islam dilarang berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Al Allamah Ibnu Hajar menulis, telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) mensunatkan berpuasa di bulan-bulan Haram.
Berpuasa dalam bulan Rejab adalah digalakkan tetapi tiada satu hadis sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Diriwayatkan daripada Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله عنه beliau berkata: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berdoa: Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. (HR Imam Ahmad, ath-Thabarani dan lain-lain)

Friday, April 20, 2012

Hepy besday mak

Firman Allah SWT yang bermaksud:
" Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya."  

  Tiada wang atau ungkapan yang dapat mengantikan kasih IBU yang tidak berbelah bahagi menyayangi anak-anaknya. Pengorbanan insan yang bergelar IBU ini amatlah banyak untuk dihitung. Seorang IBU terpaksa menanggung beban berat seorang insan selama 9 bulan, bersengkang mata menjaga seorang insan dari sebarang gangguan walau gigitan seekor semut.
  IBU tidak pernah mungkir untuk menunaikan segala permintaan anak-anaknya walaupun kadang-kadang semua itu menyukarkannya. Tapi, seorang IBU sanggup melakukannya demi kasih sayang  buat anak-anaknya.
  
  Tapi, seorang anak tidak dapat melakukan sebegitu rupa terhadap ibu bapa. Benarlah ungkapan yang selalu kita dengar " Seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak,tapi seorang anak tidak mampu menjaga seorang ibu." 


  Hari ini 21 APRILgenaplah umur emakku 48 tahun. Dan, selama 26 tahun juga emakku menyandang gelaran dan tanggungjawab sebagai seorang IBU. Begitu banyak pengorbanan dan kasih sayang emakku sepanjang tempoh tersebut. Tapi, tidak pernah sekali pun, beliau meminta untuk dibalas semua itu. Itulah, ajaibnya insan yang bergelar EMAK kepada kami 6 beradik.

  Semoga kehidupan mak diberkati Allah dan bahagia dunia akhirat.
Special for you:
p/s: - Terima kasih mak, tiada kata-kata yang dapat diungkap dengan apa yang telah kau bagi pada kami.
- SAYANG,RINDU mak...

Wednesday, April 4, 2012

Fesyen tudung kini

  Terasa lama tidak mencoretkan sesuatu di teratak yang satu ini. Serengkali menjenguk tapi sekadar memandang dan saat jari ingin menarikan sesuatu hanya separuh jalan dan dipadam. Entah kenapa mood untuk menulis hilang melayang entah ke mana hehehe...

  Tiba-tiba terasa ingin berkongsi sesuatu dengan semua. Saban hari kita melihat pelbagai trend dan fesyen masyarakat kini dalam pemakaian. Wanita maupun lelaki tidak terkecuali. Begitu juga dengan fesyen tudung bagi kaum hawa. Kini, pelbagai fesyen tudung yang berada di pasaran sehingga tidak sempat menghafal nama-nama fesyen tersebut.

TUDUNG YANG BERSANGGUL
  Larangan tudung bersanggul ini adalah daripada hadis Nabi Muhammad sendiri, seperti yang dinyatakan dalam gambar di atas:
Ada dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku lihat:

1. Suatu kaum yang memiliki cemiliti ekor lembu untuk memukul manusia 
2. Para wanita yang berpakaian tapi bertelanjang, kepala mereka seperti bonggol untuk yang bergoyang-goyang. Wanita seperti ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan baunya dapat dicium selamat perjalanan sekian dan sekian. (Hadis Riwayat Muslim)

TUDUNG YANG MENYERUPAI BIARAWATI KRISTIAN
Elakkan fesyen tudung sebegini, sesuai dengan tegahan Nabi dari hadis berikut:
Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dari golongan mereka (Hadis Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibnu Hibban)
  
  Islam tidak melarang untuk berfesyen tapi sebagai seorang muslimah tidak dapat tidak perlulah berfesyen mengikut landasan yang Islam telah gariskan. Jangan menjatuhkan martabat kaum HAWA dengan fesyen dan dunia yang sentiasa menipu.



P/S: Peringatan untuk diri sendiri dan semua. Semoga diri sentiasa istiqamah...amin

Thursday, March 8, 2012

Air mata SYIRIA

  Terasa begitu lama menyepikan diri untuk bersama di laman ini. Tapi, bukan bermakna diri ini tidak mengambil peduli apa yang berlaku di sekeliling. Malah, tidak ketinggalan setiap hari untuk mengetahui berita-berita terbaru.

  Setiap hari terasa begitu geram dan sedih dengan apa yang berlaku kepada saudara seAKIDAH di bumi SYIRIA. Sehingga ke hari ini,nasib mereka bertambah tragis.

  Kezaliman rejim BASHAR ASAD semakin menggila. Saban hari mereka dibunuh dan disembelih tanpa ada belas kasihan. Tidak terkecuali golongan kanak-kanak dan wanita. Bagi rejim ini membunuh itu sebagai hobi.

  Tapi, mata dunia tidak semuanya terbuka dengan nasib mereka. Masih ada lagi umat yang tidak mengetahui dengan penderitaan yang mereka alami. Malah, yang mengetahui pun hanya memandang sebelah mata. Mungkin kerana tidak berlaku kepada suami,isteri atau anak sendiri.
                                                                                  
  Ketua Kesatuan Ulamak Islam SeDunia, Prof.Dr.Yusuf Al-Qardhawi mengeluarkan pandangan jihad wajib ke atas setiap rakyat Syria. Beliau juga mengeluarkan fatwanya seperti berikut:


1) Jihad kewajipan setiap rakyat Syria dan tidak menjadi syarat perlu memperoleh persetujuan dari ayah dan ibu. Menjadi kewajipan umat bagi membantu mereka dengan harta dan senjata.

2) Setiap tali barut (Syabih) atau perisik atau pembantunya hukumannya adalah zalim dan perlu dibunuh.

3) Setiap tentera yang diperintah membunuh rakyat perlu berpaling tadah walau apa jua akibatnya.

4) Setiap mereka yang terkorban sama ada dibunuh, berpaling tadah dari rejim, menyertai demonstrasi atau mengiringi jenazah maka matinya adalah mati syahid dengan izin Allah.

5) Kewajipan bagi pekerja dan pegawai kerajaan agar membantu revolusi dengan maklumat.

6) Di sana, terdapat golongan Syiah 'Alawi yang dizalimi maka tidak boleh melayannya sebagai pembunuh. 

7) Pasukan tentera atau keamanan yang mengadakan gangguan seksual ke atas wanita maka mereka mesti dibunuh.

8) Setiap individu mazhab dan agama diseru menyertai revolusi dan membunuh rejim.

9) Tidak salah jika penyertaan wanita bersama-sama revolusi dengan kemampuan yang mereka miliki.

10) Zakat pada waktu ini wajar diberi keutamaan bagi menyokong Revolusi Syria dan membantu para pejuang padanya.


  Kini mereka sudah tidak mengharapkan sesiapa melainkan bantuan daripada ALLAH. Kezaliman tidak akan bertahan lama. Senjata kita yang paling utuh hanya satu iaitu DOA. Jadi, jangan ketinggalan doa qunut nazilah dalam setiap solat kita. Allah sentiasa mendengar doa umat-umatnya. WALLAHUL MUSTA'AN.




                                                          

Sunday, February 5, 2012

Kekasih hati

Begitu mudah kita melafazkan sayang,
Begitu mudah kita melafazkan rindu,
Begitu mudah kita melafazkan cinta,
Begitu mudah kita menyimpan impian untuk bertemu.

Tapi,
Apakah yang kita lakukan untuk membuktikan sayang,
Apakah yang kita usahakan untuk sebuah kerinduan,
Apakah yang kita korbankan untuk sebuah cinta,
Apakah usaha kita untuk realisasikan sebuah pertemuan.

Sia-sia semua perasaan kita,
Andai kita hanya seperti pungguk rindukan rembulan,
Menanti dan terus menanti,
Tanpa ada sedikit usaha.

Andai kita sayangkan DIA,
Kita akan sentiasa bersama kisah-kisahnya.

Andai kita rindukan DIA,
Kita akan sentiasa menyebut namanya,

Andai kita cintakan DIA,
Kita sanggup berkorban deminya.

Tapi,
Sejauh mana usaha dan pengorbanan kita,
Untuk DIA kekasih Allah,
Untuk DIA yang tidak pernah melupakan kita,
Untuk DIA yang kita hingga kini digelar umat yang terpuji.

Korbankanlah sedikit waktu,tenaga,& harta,
Untuk risalah BAGINDA andai kita betul-betul mencintainya.
Teruskanlah bersama sunah BAGINDA andai kita menyayanginya.

INSYAALLAH satu hari andai ditakdirkan kita bertemunya,
Kita adalah insan yang paling bahagia dan bertuah.

Rindu padaMU RASULULLAH SAW....

Tuesday, January 24, 2012

Jauhi cinta nafsu


   Ramai wanita hari ini mudah tewas dengan panahan cinta. Sanggup gadai maruah, hilang kehormatan diri ,ditipu dan ditinggal pergi kerana cinta.Ada yang sanggup didera semata-mata menunjukan rasa setia dan kasih.Jika kita lihat hari ini,ramai golongan wanita yang terpelajar, tetapi dalam bab-bab berkaitan lelaki, mereka kalah dan gagal membuat pertimbangan yang wajar.

   Demi untuk membuktikan cinta, ada setengahnya sanggup menyerahkan segalanya kepada JANTAN secara percuma, sanggup berkongsi hidup tanpa ikatan perkahwinan. Kerana cinta, ada yang sanggup menanggung teman lalaki macam katak hidup . Kalau tak jadi kahwin, siapa yang rugi? ? Siapa yang nak dipersalahkan? Siapa yang malu? Semuanya sendiri yang tanggung.

Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia...
Pengorbanan tanpa batasan . Berbaloikah??

   Jadi, berkorban biarlah pada tempatnya.Janganlah sampai diri sendiri yang terkorban.Tak payahlah cepat sangat terpedaya dengan janji manis, pujuk rayu dan wang ringgit lelaki. Akhir ini, begitu banyak cerita seperti mengandung luar nikah, kahwin lari,berkhalwat, jadi perempuan simpanan dan sebagainya.Kalau ya pun nak berkorban .demi jantan, janganlah sampai diri sendiri yang terkorban. Sedih bila mengenangkan semua ini..

   Walaupun begitu, tidak semua lelaki jahat kerana masih ada yang baik, tetapi sangat sukar ditemui . Dan, untuk menemui lelaki yang baik itu diri sendiri pun perlulah sentiasa berusaha untuk menjadi baik.Jadi,Pandai-pandailah memilih teman.Jangan sampai dah jadi mangsa, baru sedar. Pada waktu itu, sudah terlambat, nasi dah jadi bubur. Renungkan sejenak sebelum membuat pengorbanan.Bolehkah lelaki membuat pengorbanan yang sama seperti kamu? Renung-renungkanlah...
Kenapa ada rasa yang perit
Kenapa ada dengki di tangkai hati
Kenapa aku jauh tersisih
Kenapa aku melarik luka
Terus bagaimana harus berlaku
untuk aku ubah apa yang tercatit
Apa lg perlu aku korbankan 
untuk terus selari dan seiring
kehendakmu.

P/S: -Ya Allah, peliharalah diriku,keluargaku dan sahabat-sahabatku dari tipu daya dunia yang akan membinasakan diri kami dan golongkanlah kami dalam golongan yang mencintai keranaMU.Amin...

Wednesday, January 18, 2012

Dimana kasih buat ISTERI??

  Sepanjang imtihan jari ini begitu berat untuk mencoret di laman ini. Tapi,setiap kali buka kitab untuk study ada saja perkara yang bermain di minda untuk dikongsi bersama.Ermm..akhirnya sifat malas itu lebih kehadapan. Diri ini hanya rajin ziarah dari satu blog ke satu blog untuk membaca entry orang (hobi yang best).

 Dan sepanjang waktu itu diri ini selalu membaca mengenai kes SUAMI DERA ISTERI. Dari lubuk hati sebagai seorang perempuan terasa tersentuh dan bercampur baur antara marah,geram,takut dan sebagainya. Dan tertanya-tanya kenapa sampai begitu sekali tindakan seorang insan yang dicipta oleh Allah dengan AKAL sanggup lakukan?? Tambahan pula, tindakan kepada insan yang telah berjanji setia dengan satu akad yang bukan mudah dan insan yang berkongsi segala-galanya.


  Bila dilihat kembali,semua itu berlaku hanya dengan satu sebab iaitu CEMBURU. Benarlah seperti kata pepatah:
"Mata tidak boleh menilai kebenaran nurani, hanya hati yang penuh dengan cinta boleh merasakannya. Maka ketika hatimu penuh dengan rasa curiga matamu akan menilai semua yang salah seakan-akan benar."

  Jadi, Tidak hairanlah jika semua ini berlaku. tambahan lagi jika seseorang itu hanya bertindak menggunakan emosi dan nafsu tidak bersandarkan dengan akal dan iman.

  Islam melarang dengan keras seseorang memukul isterinya seperti memukul hamba abdi, ini bertentangan dengan kesucian Islam sebagai agama selamat. Islam mengajar kepada umatnya agar berlemah lembut dan bertimbang rasa didalam segala hal, terutama sekali didalam perkara2 berhubung dengan rumah tangga (isteri dan anak2). 

Sabda Rasulullah dalam hadis yang bermaksud : "Sesempurna iman orang2 mukmin ialah yang paling baik kelakuannya, dan yang paling lembut terhadap isterinya". Riwayat Imam Al Bukhari dan Muslim.

"Tergamakkah seseorang kamu memukul isteri sepertimana memukul seorang hamba abdi, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia (suami) merasa malu". Riwayat Imam Ibnu Saad. 


  Sekiranya berlaku salah sangka atau pun mengesyaki sesuatu yang kurang baik terhadap isteri. Maka janganlah mengambil tindakan yang keterlaluan terhadapnya atau menuduhnya, atau memaki hamunnya, dengan mengeluarkan kata2 yang kesat yang boleh menyebabkan rasa hormat isteri terhadap suami akan berkurangan.


  Sebaiknya hendaklah segera kembali kepada Allah dan rujuklah kepada AlQuran, didalamnya terdapat ubat yang paling mujarab yang dapat megatasi segala masalah tanpa menghadapi apa2 kerugian baik dari segi kewangan atau fizikal. (tak payah nak pakai lawyer dan sebagainya).


 Rata-ratanya ramai sang suami yang melakukan perbuatan yang melampaui batas ini. Bertaubatlah dan insaflah terhadap apa yang kita lakukan terhadap seseorang yang kita sayang dari mula alam perkahwinan. Pukulan yang tidak mendatangkan faedah lagi menyiksakan makhluk yang lemah ini mendatangkan haram dan murka Allah. 


P/S : -Terdetik post entry ni ble study madah TAFSIR AYAT AHKAM time exam ari 2 mengenai surah AN-NISA' yg byk mnerangkn mengenai WANITA.
      -Ya Allah...lindungilah kami dari kejahatan ,kekejaman,keganasan makhlukmu...Sayangi kami,rahmatilah kehidupan kami...amin...

Tuesday, January 3, 2012

10 Perkara yang sia-sia

  
Sufyan ats-Tsauri, seorang ulama' hadia yang terkemuka, menyatakan ada spuluh perkara yang termasuk dalam kategori sia-sia iaitu :-

1.  Lelaki atau perempuan yang berdoa untuk dirinya sendiri, tapi tidak dimohonkannya doa untuk ibu bapanya sendiri dan kaum muslimin.

2.  Orang yang selalu membaca Al-Quran, tapi tidak membaca secara tertib.

3.  Lelaki yang masuk ke masjid, kemudian ia keluar kembali dari masjid itu tanpa mengerjakan solat tahiyatul masjid.

4.  Orang-orang yang melalui tanah perkuburan, tapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan arwah-arwah mereka.

5.  Lelaki yang masuk pada hari jumaat ke suatu tempat,kemudian ia keluar lagi tanpa mengerjakan solat jumaat berjemaah.

6.  Orang yang tinggal di dalam lingkungan seorang ulama', tapi tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.

7.  Dua orang yang bersahabat, tapi mereka tidak saling menanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.

8.  Seseorang yang menjemput seseorang menjadi tetamunay, tapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamunya itu.

9.  Pemuda yang menjadikan zaman mudanya berlalu begitu saja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.

10.  Orang yang tidak menyedari jirannya yang merintih kelaparan, sedangkan dia sendiri makan kekenyangan didalam rumahnya.


P/S: Manfaatkan waktu yang ada dengan perkara yang bermanfaat.